Wednesday, June 8, 2011

Nazarku...




"Exam dah dekat..takutnya exam sem ni.." kata Daisy.
"Betullah kata kau..semua subject tough.." balas Rose.
"Aku bernazar nak belanja cousin aku makan Baskin Robin kalau result aku baik nanti" kata Daisy lagi.
"Baguslah kalau macam tu. Dapat makan ice cream mahal. Aku pun nak jadi cousin kau la" Rose berkata sambil tersenyum simpul. Dalam benaknya, dia membayangkan ice cream Baskin Robin berperisa coklat almond.

Beberapa bulan selepas itu, keputusan peperiksaan diumumkan dan Daisy telah berjaya. Keputusannya menunjukkan peningkatan yang cukup memuaskan. Daisy teringat akan nazarnya untuk membelanja sepupunya. Apakah sebenarnya hukum nazar itu?


Ayuh kita lihat.....

Artikel di bawah ini saya petik dari Islamic Religious Council of Singapore..

Nuzriah dalam Islam

Pengertian Nuzriah


Nuzriah ertinya membuat nazar (kebajikan). Nazar adalah pengakuan bersumpah bahawa seseorang akan melakukan sesuatu apabila tiba satu-satu masa atau apabila berlaku satu-satu peristiwa.

Nuzriah dari sudut istilah adalah nazar yang dibuat oleh seseorang untuk menyerahkan sebahagian atau keseluruhan hartanya sebelum kematiannya kepada pihak lain.

Hukum membuat nuzriah

Membuat nazar dalam Islam pada dasarnya adalah harus. Akan tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib sekiranya ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang. Ia juga boleh bertukar menjadi haram sekiranya ia boleh menzalimi atau mengancam nyawa seseorang.

Begitu juga nuzriah. Jika dengan membuat nuzriah tersebut ia akan menzalimi ahli waris yang sepatutnya menerima harta pusaka dengan mengurangkan bahagian yang diterima mereka, maka hukumnya adalah haram. Akan tetapi jika nuzriah tersebut dibuat untuk menjaga maslahat mereka yang hidup sehingga tidak dizalimi kelak, maka hukumnya adalah harus.

Implikasi nuzriah


Seseorang yang membuat nuzriah akan mengurangkan kadar yang diterima oleh ahli waris lain dari harta pusakanya. Sekiranya dia melakukannya kerana sengaja ingin menzalimi seseorang dari ahli warisnya atau segolongan dari mereka, maka ini ditegah dan haram dalam Islam. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 279: Dan tidaklah kamu menzalimi dan dizalimi.

Sebagai contoh: seseorang membuat nuzriah untuk menyerahkan kesemua hartanya kepada isterinya dengan niat untuk meniadakan bahagian anaknya yang yang dianggapnya tidak taat padanya, maka ia adalah haram di dalam Islam.

Adapun bagi mereka yang ingin menjaga maslahat orang yang hidup dengan membuat nuzriah maka ia diperbolehkan. Sebagai contoh: seseorang membuat nuzriah untuk menyerahkan rumahnya kepada isterinya dengan niat agar rumah tersebut tidak dibahagi-bahagikan kepada ahli waris lain sehingga isterinya kelak tiada tempat berteduh, maka hukumnya adalah harus. Adapun harta-hartanya yang lain akan dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang layak mengikut hukum faraidh.

Syarat-syarat sah nuzriah dalam Islam


Nuzriah akan menjadi sah dalam Islam sekiranya ia mencukupi syarat-syarat dibawah ini:

  • Ia dilakukan dengan disaksikan oleh dua orang lelaki Muslim yang adil dan tidak fasiq.
  • Menjelaskan satu tempoh yang tertentu sebelum kematian agar nuzriah tersebut terlaksana. Biasanya ia adalah tiga hari sebelum kematian.

Dilampirkan bersama contoh pengakuan Nuzriah.

Untuk menguatkan lagi nuzriah yang telah dibuat disisi undang-undang negara, seseorang boleh mendapatkan khidmat peguam untuk mengesahkannya, atau membuat akuan bersumpah (Statutory Declaration) atas nuzuriah tersebut.

Sesebuah nuzriah yang telah dibuat akan secara otomatik terlaksana apabila waktu yang telah ditetapkan telah tiba mengikut apa yang telah ditetapkan dalam nuzriah tersebut. Bagi mereka yang ingin menarik kembali nuzriahnya sebelum tiba waktu yang telah ditetapkan itu, ia hendaklah membayar kafarahnya dengan perkara-perkara berikut:

  1. Memberi makan 10 orang fakir miskin dengan makanan yang biasa dimakan olehnya. Atau
  2. Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin. Atau
  3. Membebaskan hamba sahaya. Atau
  4. Berpuasa tiga hari (jika ketiga-tiga perkara diatas tidak dapat dilakukan)

Bagi mereka yang telah membuat Statutory Declaration atau telah mendapat pengesahan pihak peguam, maka tindakan-tindakan undang-undang yang wajar harus diambil untuk membatalkannya.




Terdapat pelbagai persoalan yang timbul berhubung isu nazar. Antaranya adalah:

Harus bernazar untuk dekatkan diri kepada Allah

Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH

SOALAN 1
Apakah nazar dan apa hukumnya dalam Islam?

JAWAPAN

NAZAR menurut istilah ulama fikah ialah beriltizam untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan kewajipan yang tidak disyarakkan secara mutlak atau tidak terikat dengan sesuatu yang mewajibkan dari melakukannya.

Dalil dari al-Quran dan hadis mengenai keharusan nazar, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana. (al-Insan: 7)

Sabda baginda Rasulullah s.a.w. daripada Aisyah r.a yang bermaksud, Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatilah akan-Nya dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepada-Nya maka janganlah membuat maksiat kepada-Nya. (riwayat Bukhari)

Berdasarkan dalil di atas dan dalil-dalil yang lain, ulama berpendapat nazar hukumnya harus dalam Islam jika seseorang itu bernazar untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.


SOALAN 2

BAGAIMANAKAH caranya jika seseorang itu ingin bernazar?

JAWAPAN

JIKA seseorang itu hendak bernazar, pertama sekali hendaklah dia mengetahui dengan apa dia mahu bernazar. Maka di sini nazar terbahagi kepada tiga bahagian seperti berikut;

1. Nazar Lajaj: nazar yang berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan diri akibat terlalu marah.

Contohnya dia berkata: “Sekiranya aku bercakap dengan si fulan maka demi Allah atasku puasa sebulan”. Nazar jenis ini ada dua keadaan dari satu sudut ia seperti bersumpah tidak mahu bercakap, dari sudut yang lain pula seperti nazar, maka orang yang bernazar boleh memilih sama ada tebus sumpah atau menunaikan nazarnya.

2. Nazar al-Mujazah (Mukafaah): nazar yang mana seseorang itu bergantung pada sesuatu keadaan yang akan menyebabkan dia akan melakukan sesuatu. Contohnya, berkata orang yang bernazar itu: “Sekiranya Allah menyembuhkan penyakitku ini maka demi Allah aku akan bersedekah seekor kambing”.

3. Nazar Mutlak: nazar yang semata-semata hendak mendekatkan diri kepada Allah dan tidak didahului oleh apa-apa masalah. Contohnya, seseorang itu berkata: “Bagiku berpuasa kerana Allah pada hari Khamis”.

Nazar jenis kedua dan ketiga adalah nazar semata-mata mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Kerana hukumnya hanyalah harus, kalau tidak bernazar tidak dikira berdosa.

Namun manusia sentiasa berusaha untuk meletakkan dirinya di hadapan Allah melalui amal ibadat. Ini termasuklah menghampirkan diri melalui iman. Namun tidak ramai yang suka bernazar, ini kerana bila seseorang itu bernazar maka hendak dia tunaikan nazarnya selagi mana nazarnya tidak bertentangan dengan syariat Allah.


SOALAN 3

BAGAIMANA pula jika seseorang itu tidak melakukan nazar bila sudah tertunai hajatnya?

JAWAPAN

BERNAZAR supaya Allah memberi sesuatu pemberian atau pengurniaan. Contohnya: “jika saya sembuh dari penyakit ini maka akan saya sedekahkan seekor kambing kerana Allah”.

Selepas sembuh hendaklah dia menunaikan nazarnya kerana Allah. Jika enggan atau ingkar dikira berdosa. Jika tidak dapat ditunaikan nazarnya maka hendaklah ditebus nazar sepertimana menebus sumpah, sama ada memberi makan kepada 10 orang miskin dengan hidangan yang mengenyangkan mereka, memberi pakaian kepada 10 orang miskin atau membebaskan seorang hamba yang beriman.

Jika ketiga-tiga ini tidak mampu dilakukan maka hendaklah berpuasa tiga hari berturut-turut. Dalilnya, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin Amir daripada Rasulullah s.a.w., baginda bersabda yang bermaksud, Kafarah (menebus) nazar seperti kafarah (menebus) sumpah. (riwayat Muslim)


SOALAN 4

WAKTU bilakah paling sesuai untuk bernazar?

JAWAPAN

ISLAM tidak menentukan bilakah waktu yang paling sesuai untuk bernazar. Namun kebiasaannya orang akan bernazar apabila berhadapan dengan sesuatu masalah atau sesuatu musibah.

Namun, Islam tidak menghalang penganutnya untuk bernazar, dengan erti kata untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.


SOALAN 5

APAKAH yang paling mudah untuk kita bernazar.

JAWAPAN

Jika seseorang itu ingin bernazar maka hendak dia bernazar dalam perkara yang diharuskan Islam, dan mampu melaksanakannya.

Pertama: Perkara yang dinazar itu merupakan perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukan nazar dalam melakukan maksiat kepada Allah dan tidak boleh bernazar dalam perkara yang harus seperti makan, minum, tidur dan sebagainya.

Kedua: Perkara yang dinazar itu bukan daripada kewajipan yang memang telah diwajibkan dari mulanya lagi. Contohnya, jika seseorang itu bernazar untuk solat Zuhur atau ingin mengeluarkan zakat hartanya maka nazarnya itu tidak sah kerana nazarnya itu tidak membawa kesan kepada kewajipan yang baru.

Ini disebabkan solat Zuhur dan zakat hartanya itu memang telah wajib dari mulanya lagi tanpa memerlukan kepada nazar lagi.

(Sumber soal jawab ini: Utusan Online)

Saya harap dengan perkongsian ini dapat memberi pembaca buah fikiran tentang nazar-nazar yang pernah dibuat. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

No comments:

Post a Comment