Tuesday, December 31, 2013

A little thought


Jika tiada rezeki anak,
mungkin diberikan rezeki mertua yang baik.
Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak
yang liar.
----------------------
Jika tiada rezeki wang ringgit,
mungkin diberikan rezeki kesihatan.
Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga
harta dunia.
--------------------------
Jika tiada rezeki kereta mewah,
mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang
menimbulkan masalah.
Maka kita lebih bahagia dari membayar
kerosakan yang mahal.
-----------------------
Jika tiada rezeki rumah yang besar,
mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak
pernah putus.
Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.
-----------------
Jika tiada rezeki pasangan yang cantik,
mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik
dan pandai menguruskan rumahtangga.
Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman
dan terjaga segala.
-------------------
Jika tiada rezeki jodoh,
mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang
panjang.
Maka kita lebih bahagia dapat berbakti
sepenuhnya pada orang tua.
---------------------
Jika tiada rezeki hari ini, mungkin ada rezeki
yang lebih baik pada esok hari.
Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak
dijangka.
------------
Bersabar. Bersyukur. Berusaha. Berdoa.
Bertawakal.


*Tazkirah dari seorang sahabat*

2013

Assalamualaikum w.b.t.

Tahun 2013 melabuhkan tirainya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih punya nyawa untuk terus hidup di dunia ini. Terlalu banyak untuk diungkapkan kerana 2013 sangat memberi pengajaran.

2013 memberikan satu kronologi menarik dalam hidup. Penuh perasaan. Suka duka, senyum tawa, sedih dan kecewa. Peristiwa bermakna. Hadiah berharga. Kasih-sayang dan cinta. Alhamdulillah atas kurnia Allah.

Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik penolong dan sebaik-baik pemberi pertolongan. Tiadalah yang lebih baik dari-Nya. Hikmah tersembunyi dalam setiap kejadian untuk renungan. Semoga sahaja mampu menjadi lebih baik kerana masih punya ruang dan masa. 

Allah is the Creator of all things, and He is the Guardian and Disposer of all affairs.

Saturday, March 17, 2012

Makanan hati itu ilmu...

Salam 'alaik sahabat...

Ada empat perkara yang dapat menyebabkan hidup terasa sempit, hati menjadi sedih dan dada terasa sesak:

  • Tidak suka terhadap qada' dan qadar Allah dan tidak rela menerimanya.


  • Terjerumus pada kemaksiatan tanpa bertaubat.

.....katakanlah: "Hal itu adalah akibat sikap diri kalian.." ('Ali Imran : 165)

.....semua itu akibat sikap perbuatan kalian...(As-Syura : 30)


  • Dengki kepada manusia, suka membalas dendam dan iri hati terhadap kurniaan Allah kepada seseorang.

Apakah mereka iri hati kepada orang yang telah diberi kurnia oleh Allah.. (An-Nisa' : 54)

Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak ada ketenangan bagi orang yang suka mendengki"


  • Berpaling dari peringatan Allah.

... maka sungguh baginya penghidupan yang sempit. (Taha : 124)


Hidup ini hanya sementara. Carilah bekalan secukupnya menuju destinasi abadi.

Semoga bermanfaat buat semua.

Wednesday, November 16, 2011

Apabila kamu memegang jawatan....

Ibnul Wardi berkata,
"Memangku jawatan terkesan di luar indah. Padahal itu hanyalah sesuatu yang rendah (hina)."

Apa maksud dari kata-kata ini?
Kedudukan itu sangat mahal harganya; menjejaskan kesihatan dan menghilangkan ketenangan. Hanya sedikit orang yang berjaya memegang jawatan yang telah dibayar dengan harga mahal setiap hari dengan keringatnya, darahnya, ketenangan, kemuliaan dan kehormatannya.

Renungkanlah.....


Petikan dari buku:
Jangan Bersedih, Dr. 'Aidh bin 'Abdullah Al-Qarni, Al-Hidayah Publication, p.439

Saturday, November 12, 2011

Nyanyian indah...

Bila terasa buntu.....

Daisy menangis kerana terlalu tertekan dengan pelbagai masalah. Bagai ada batu yang jatuh di atas kepalanya. Dalam esak tangisnya, dia terpandang ayat seribu dinar yang ditampal di papan berhadapan meja belajarnya. Daisy membacanya dengan penuh perasaan agar Allah memberikannya jalan keluar untuk setiap masalah yang dihadapinya. Sejurus selepas itu, Daisy mendapat panggilan yang membawa berita gembira. Alhamdulillah, peperiksaan malam itu ditunda ke satu tarikh lain. Daisy berpeluang menyiapkan tugasannya yang lain. Dalam hatinya sangat bersyukur dengan penundaan itu.

Bila sudah berusaha dan masih belum jumpa jalan keluar, kita mula berputus asa. Perasaan kecewa, bingung dan sedih menghantui kita. Setiap kali terasa buntu, bacalah ayat seribu dinar dengan penuh tawakal kepada Allah.




Ayat ini dipetik dari surah at-Talaq ayat 2-3.

Di antara kelebihan dan fadhilat ayat seribu dinar ini ialah :

* Di baca apabila kita hendak bertawakkal terhadap sesuatu perkara.

* Menghilangkan keresahan bila di baca di waktu resah.

* Di baca ketika hendak menaiki kenderaan

* Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh.


Bertaqwalah dan bertawakallah kepada Allah nescaya Allah akan memberimu jalan keluar dari sumber yang tidak pernah kau sangka-sangka.


Thursday, September 15, 2011

He knows best...

Dalam hidup semuanya perlu dilalui. Tiada sekolah ataupun pusat pengajian yang ada menyediakan subjek bernama "Kehidupan dan Realiti". Kebanyakannya hanyalah teori dan retorik. Pelajarnya perlu lebih berfikiran terbuka demi mencari pengalaman berharga. "Experience teach us how to survive". Inilah kata-kata kegemaran saya. Kadang kala kita diberikan cabaran yang sangat berat. Terlintas di fikiran, adakah kita mampu untuk menghadapi dan menyelesaikannya? Yakinlah dengan Allah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap manusia akan diberikan dugaan sesuai dengan kemampuan mereka. Demikianlah ringkasan ayat al-Qur'an dalam surah al-Baqarah. Jadi tidak perlu risau. Pengalaman akan menjadikan setiap orang lebih menghargai apa yang dimiliki. Jika kehilangan sesuatu, jangan terlalu sedih atau meratapinya kerana Allah lebih mengetahui sesuatu yang terbaik untuk kita.