Saturday, April 9, 2011

It is easy to say...

Perjalanan itu terlalu jauh dan panjang. Adakah setiap orang akan melalui jalan yang sama? Ternyata tidak. Setiap orang ada jalan yang berbeza. Semuanya telah cantik disusun oleh Yang Maha Berkuasa. Bermula dengan keluarga tempat seseorang dilahirkan hinggalah ke kuburan di mana seseorang disemadikan. Semuanya ada di dalam rencana. Justeru itu, satu hukum yang dinamakan qada’ dan qadar perlu sentiasa diperhatikan dan diterima dengan penuh keredhaan. Apabila berkata tentang redha, ia bukan hanya terletak di bibir tetapi ia perlu lahir dari hati yang luhur. Bak kata orang, “it is easy to say than to be done”. Hati itu perlu dididik dengan baik supaya ia terlepas dari belenggu sifat mazmumah. Cara mendidik hati yang terbaik ialah dengan mendekatkan diri kepada al-Khaliq. Sebagai pencipta, hanya Dia yang lebih mengetahui tentang kekurangan yang ada pada ciptaan-Nya. Jadi, Dia jugalah yang lebih mengetahui cara untuk memperbaikinya. Kegagalan dalam sesuatu perkara kadang-kadang perlu dipandang dari sudut yang berbeza. Hikmah di sebalik kegagalan itu membuatkan kita lebih berani.

Seperti bayi yang baru belajar berjalan, jatuh dan bangun setiap kali bertatih. Usaha yang berterusan membolehkannya berjalan dan seterusnya berlari bersama ayah dan ibu. Tidakkah molek contoh yang ditunjukkan oleh seorang bayi kepada seorang dewasa? Keazaman dan kekuatan keinginan untuk berjalan mendorong seorang bayi untuk bangun setiap kali terjatuh. Bukankah setiap orang pernah menjadi bayi sebelum dewasa? Kenapa kita lupakan semangat kita yang dulu apabila kita gagal dalam sesuatu perkara? Seharusnya kita ingat, kita pernah merangkak dan bertatih sebelum boleh berjalan dan berlari. Natijahnya, apabila kita jatuh lagi, kita tidak takut untuk menghadapi kenyataan dan terus mengulangi proses yang sama dalam kehidupan. Indah sungguh dunia ini. Konsep saling mengingati tidak pernah memilih usia tua dan muda.

Kegagahan seorang bayi harus dicontohi. Bangkitkan kekuatan di dalam diri untuk menerima kenyataan dan teruskan perjalanan hidup ini. Anggaplah peristiwa yang menyedihkan itu sebagai satu liku atau selekoh di dalam satu perjalanan yang penuh ranjau. Andai masih sukar untuk memberi keredhaan dan menerima kenyataan, berkongsilah perasaan itu dengan sahabat handai dan ahli keluarga. Kelak mereka akan memberi buah fikiran untuk mencari jalan keluar dan menenangkan hati. Sekiranya masih juga belum berpuas hati maka pada Dia tempat kamu meminta. Ingatilah Dia dan Dia tidak pernah melupakan kamu. Berkasih sayanglah denganNya kerana kasihNya terlalu banyak buat kamu. Tidak ada yang mampu kamu dustakan.

No comments:

Post a Comment